Apr 18

DEWAN RAKYAT
PARLIMEN KESEBELAS
PENGGAL KETIGA
MESYUARAT KETIGA

Bil. 60 Khamis 7 September 2006

11. Tuan Huan Cheng Guan [Batu Kawan] minta Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar menyatakan rancangan untuk memulihkan Sungai Juru dan Sungai Prai yang mengalami pencemaran yang serius. Berapakah peruntukan yang diluluskan untuk kerja-kerja pemulihan di Sungai Juru dan Sungai Prai.

Setiausaha Parlimen Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar [Tuan Sazmi bin Miah]: Tuan Yang di-Pertua, untuk makluman Ahli Yang Berhormat, pihak kementerian memandang serius terhadap pencemaran yang berlaku di semua sungai di seluruh negara termasuklah di Sungai Juru dan juga Sungai Prai. Untuk makluman Yang Berhormat, Menteri telah pun melawat sungai-sungai di Pulau Pinang pada bulan Jun yang lepas dan antara langkah-langkah khusus yang telah dan akan diambil oleh pihak kementerian adalah seperti berikut:-

(i) Mengadakan pengawalan kumbahan dan sisa pepejal di punca, iaitu dengan mensyaratkan semua premis makanan mengadakan sistem rawatan di tempat masing-masing seperti pemasangan sistem penapis sisa makanan (FOG) dalam kawasan Pihak Berkuasa Tempatan. Selain itu pihak kementerian juga mengadakan langkah-langkah struktur dengan membina gross pollution trap (GPT), dengan izin dan juga lock boom untuk memerangkap sampah dari memasuki sungai-sungai.

(ii) Menjalankan kerja-kerja pemulihan sungai seperti kawalan hakisan tebing, kerja-kerja mendalamkan dan melebarkan sungai dan kerja-kerja pembersihan sungai bagi mengembalikan eco-system sungai tersebut. Peruntukan yang telah diluluskan di dalam Rancangan Malaysia Kesembilan untuk kerja-kerja pemulihan Sungai Juru adalah sebanyak RM18 juta dan Sungai Prai sebanyak RM4 juta.
Terrima kasih

Timbalan Yang di Pertua[Datuk Dr. Yusof Bin Yacob]: Yang Berhormat bagi Batu Kawan

Tuan Huan Cheng Guan [Batu Kawan]: Terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Terima kasih Yang Berhormat Setiausaha Parlimen. Mengikut laporan, Sungai Juru memang merupakan salah satu sungai yang paling kotor dalam negara kita. Saya juga difahamkan kerja-kerja pemulihan Sungai Juru memerlukan lebih kurang RM30 juta sedangkan yang diluluskan hanya RM18 juta di bawah Rancangan Malaysia Kesembilan.

Soalan saya ialah apakah kaedah yang akan diambil oleh kementerian bagi memastikan peruntukan secukupnya untuk kerja-kerja pemulihan di Sungai Juru?

Soalan yang kedua ialah apakah laporan kajian pencemaran Sungai Juru? Ia sudah siapkah atau tidak?

Soalan yang ketiga,….
Timbalan Yang di-Pertua [Datuk Dr. Yusof bin Yacob]: Cukuplah Yang Berhormat, cukup.

Tuan Huan Cheng Guan [Batu Kawan]: Tambah sikit..

Timbalan Yang di-Pertua [Datuk Dr. Yusof bin Yacob]: Dua soalan.
Tuan Huan Cheng Guan [Batu Kawan]: Dua setengah, dua setengah. [Ketawa]. Tadi Yang Berhormat Setiausaha Parlimen ada sebut Yang Berhormat Menteri ada melawat ke kawasan sana, iaitu kawasan Parlimen saya di Sungai Juru. Saya mohonlah, kalau lain kali Menteri datang, sila maklum kepada Ahli Parlimen kawasan juga. Terima kasih.

Setiausaha Parlimen Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar [Tuan Sazmi bin Miah]: Terima kasih Yang Berhormat. Saya jawab yang ketiga dahululah ya. Saya rasa Menteri saya memang banyak turun padang. So, kadang-kadang dia terlupa hendak cakap kepada Ahli-ahli Parlimen yang berkenaan. Tetapi kita akan ambil maklum dan saya akan cakap ini kepada Menteri.

Bagi bahagian yang pertama tadi, kita sememangnya mengetahui untuk membersihkan sesebuah sungai dan untuk menjaga sungai-sungai tersebut memerlukan kos yang agak besar dan tinggi.

Sebenarnya di dalam Rancangan Malaysia Kesembilan baru-baru ini, kita memohon lebih daripada RM180 juta untuk pemuliharaan sungai-sungai di negeri Pulau Pinang sahaja. Tetapi yang diluluskan kepada pihak jabatan hanyalah lebih kurang RM107 juta. Jadi untuk mengatasi masalah bajet yang tidak cukup bagi pemuliharaan sungai tersebut, I insya-Allah pihak kementerian akan memohon peruntukan tambahan di dalam kajian separuh penggal nanti dan kita akan lihat bagaimana ia berjalan.

Bagi bahagian yang kedua iaitu laporan sama ada sudah siap atau belum untuk sungai-sungai tersebut, saya tidak mempunyai maklumat sekarang ini. Saya akan balik check dengan jabatan. Terima kasih.

Sumber : http://www.parlimen.gov.my/hindex/pdf/DR-07092006.doc , muka surat 21 & 22

written by admin


Leave a Reply